Penduduk Palestin serbu sempadan Gaza
2011/05/29
PENDUDUK Palestin memenuhkan lori dengan beg sebelum menyeberang sempadan Gaza, semalam.
RAFAH: Beratus-ratus penduduk Palestin menyeberangi Gaza ke Mesir di sini semalam, mengambil kesempatan pembukaan semula pintu sempadan itu selepas tidak dibuka secara bebas hampir empat tahun.
Pintu sempadan dibuka dari 9 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Jumaat.
Antara yang pertama menyeberangi sempadan semalam adalah dua ambulans yang membawa pesakit untuk mendapat rawatan di Mesir, di samping beberapa bas mini yang membawa penumpang.
Menteri luar Mesir, Nabil al-Arabi, mengumumkan April lalu pintu sempadan Rafah akan dibuka secara tetap bagi membantu mengurangkan sekatan yang dikenakan Israel terhadap Gaza.
Laluan masuk dan keluar dari Gaza dihadkan selepas Hamas menguasai Gaza pada Jun 2007.
Kemasukan ke Mesir dari wilayah itu kebanyakannya dihadkan kepada mereka yang memerlukan rawatan dan pelajar.
“Ia keputusan berani dan bertanggung jawab selari dengan pendapat awam Palestin dan Mesir.
“Kami berharap ia adalah langkah pertama untuk menghapuskan sekatan terhadap Gaza,” kata jurucakap kumpulan itu, Fawzi Barhum dalam satu kenyataan.
Pusat Hak Asasi palestin berkata pembukaan pintu sempadan Rafah walaupun dialu-alukan, bukanlah penyelesaian kepada isu utama.
“Sekatan yang dikenakan Tel Aviv terhadap semenanjung Gaza harus ditarik balik.
“Pergerakan barangan dagangan dan pergerakan bebas penduduk di wilayah diduduki Israel juga harus dibenarkan.”
Israel memberi amaran bahawa pembukaan Rafah membolehkan kemasukan senjata dan militan ke Gaza.
“Ia adalah satu perkembangan bahaya yang membolehkan senjata dan anggota al-Qaeda memasuki Gaza,” kata Timbalan Perdana Menteri, Silvan Shalom.
Bagaimanapun jurucakap Kementerian Luar Mesir, Menha Bakhoum, berkata pembukaan pintu sempadan Rafah adalah keputusan yang boleh dibuat Kaherah tanpa merujuk mana-mana negara lain. – AFP/Agensi
No comments:
Post a Comment