KATA-KATA MANIS TETAMU, SIALAKAN!@

Wednesday, August 10, 2011

Krisis Ekonomi: PRU 13 tidak akan berlaku tahun ini? EKONOMI DUNIA GAWAT?



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka terpaksa menangguhkan pilihan raya umum dari diadakan tahun ini ekoran kemelut ekonomi yang sedang meruncing di seluruh dunia sekarang.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) menjangka, Najib terpaksa menangguh pilihan raya umum ke 13 ekoran krisis ini yang juga mula melanda Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, PAS masih akan terus mempersiapkan semua jenteranya untuk menghadapi pilihan raya ke 13 jika ia terus akan diadakan November ini iaitu sebaik sahaja selepas perbentangan Bajet 2012.
Menurut beliau, Bursa Malaysia sedang mengalami susut RM91 bilion dalam tempoh lapan hari lalu berdasarkan rekod yang beliau perolehi jam 10 pagi ini.

Kedudukan panik kini sedang melanda seluruh dunia khasnya Eropah dan Amerika.

"Saya yakin, krisis yang sedang melanda London sekarang tentunya ada hubungkait dengan tekanan hidup akibat ramai yang hilang pekerjaan dengan kos saraan hidup terus meningkat," kata Dr Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat kepada Harakahdaily.

Kota London, England berdepan dengan krisis dan huruhara dengan rusuhan merebak ke seluruh kota lain sekarang yang bermula dengan protes kecil Sabtu lalu apabila seorang remaja kulit hitam ditembak mati.

Sementara itu Indeks FTSE London sudah jatuh RM245 bilion sejak seminggu lalu manakala Indeks Dow Jones di Amerika Syarikat jatuh 4.1 peratus dalam masa 10 hari, kejatuhan terbesar sejak tahun 2008.

Ekoran itu, mata wang Euro di Eropah jatuh dengan mendadak dan hampir lumpuh.

Pasaran saham Asia juga merudum sejak beberapa hari ini termasuk di Tokyo, Taipei, Shanghai dan juga Sydney.

"Apabila kemelesetan berlaku kepada gergasi ekonomi dunia iaitu Amerika, ia akan membawa kemelesetan ke seluruh dunia," kata Dr Dzulkefly yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.

Menurut beliau, suasana ini akan mencetus satu krisis kewangan dan kemelut ekonomi yang telah masuk ke kemelesetan kedua sejak 2008 (double-dip recession).

Ini bakal ditambah-buruk lagi apabila harga komoditi makanan beras, gandum, gula terus meningkat akibat permintaan yang tinggi dan bekalan yang merosot akibat ketidaktentuan cuaca.

Suasana ini meletakkan Perdana Menteri terhimpit dengan suasana serba salah untuk mengadakan pilihan raya umum tahun ini.


"Cakap-cakap yang PM akan adakan pilihan raya mengejut tahun ini saya rasa tidak munasabah lagi kerana para penganalisis politik dan ekonomi hanya menjangkakan krisis ini akan pulih tahun depan.
(Sebuah pasaraya di Tottenham kosong dicuri para perusuh ekoran keadaan gawat di London sekarang)

"Saperti telahan ramai pihak penganalisis dan pundit politik, saya sukar meramalkan Najib akan berani membuat pilihanraya mengejut dalam bulan September. Permintaan global akan menguncup dan pertumbuhan ekonomi negara juga terjejas kerana penguncupan permintaan global. Saya yakin PM tak akan buat pru tahun ini," kata Dr Dzulkefly.

Menurut beliau, dengan unjuran ekonomi yang akan merudum ini,  Perdana Menteri tidak wajar mampu bermewah seperti lazim dalam budget 2012 yang bakal dibentang pada 7 hb Oktober. Ini adalah Budget pra-PRU 13 .

Projek besar yang disebutkan beliau dalam ETP seperti MRT dan Bandar Malaysia juga hanya akan dapat dilihat atau bermula tahun depan dengan kewangan dunia yang tidak menentu ini.

"PM hanya akan mampu memanggil pru jika projek-projek ini boleh berjalan tetapi kini dengan krisis ini ia akan tergendala," tegas beliau.

Menurut beliau, dua tahun lalu PM mendapat kelebihan kerana harga minyak mentah tinggi yang menyebabkan beliau boleh berbelanja besar tetapi dengan keruntuhan ekonomi global ini, harga petrol akan merudun, eksport merudun, "Ia bakal menjadi mimpi ngeri yang bakal menjadi kenyataan untuk Najib."

Bursa Malaysia mula mengalami pengucupan sejak Jumaat lalu (5 Ogos) ketika penerapan hutang Amerika Syarikat mengalami kejatuhan teruk yang memberikan kesan kepada bursa saham seluruh dunia.

Untuk menjadikan bajet 7 Oktober nanti sebagai bajet pilihanraya, Najib akan dikekang dari berbelanja besar untuk tidak mencetuskan defisit fiskal yang melebihi 7 peratus KDNK seperti 2009, katanya.

Pada waktu sama juga, katanya, Najib akan berdepan dengan tekanan inflasi yang sudah hampir ke paras 4 peratus sekarang ini dengan CPI (Indek harga pengguna) bulan Jun mencecah paras 3.5 peratus. Program rasionalisasi subsidi dalam perkara asas keperluan bahan bakar - minyak, diesel dan gas, sangat tidak membantu Najib dalam memenangi sokongan rakyat teramai, sementara monopoli dan pengepungan pasaran terus berlaku akibat permit diberikan kepada kroni tertentu.

No comments:

Post a Comment