KATA-KATA MANIS TETAMU, SIALAKAN!@

Saturday, September 3, 2011

Bagaimana agaknya Umno tulis sejarah Anwar???



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 3 Sept: Setelah membuat satu kenyataan yang membuatkan rakyat terfikir bagaimana sepatutnya sesebuah sejarah harus ditafsir, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini sekali lagi mengajak rakyat berfikir mengenai kesahihan penulisan sejarah oleh manusia, dan mengapa sejarah tidak harus diterima bulat-bulat tanpa soal selidik terlebih dahulu.

Menggunakan ungkapan sinis ‘Yang menang tulis sejarah, yang kalah buat puisi’, Tuan Ibrahim berkata adalah sukar untuk mencari penulisan sejarah oleh manusia yang jujur, kerana majoriti penulis sejarah menulis dari perspektif di pihak mana mereka berada dan ada yang menulis di bawah kawalan ketakutan dan telunjuk golongan berkuasa.

“Umum dan rata-rata sebenarnya menyedari bahawa penulisan sejarah akan menyebelahi golongan yang akhirnya mendapat kuasa atau golongan yang menang. Manakala bagi golongan yang kalah pula, sejarah yang ditulis, terutamanya apabila bercanggah fakta dengan sejarah golongan yang menang, mereka tidak berani untuk berterus-terang untuk menyerang penulisan sejarah golongan yang berkuasa pada ketika peristiwa tersebut berlaku kerana kebesaran risiko dan tekanan yang mereka terpaksa hadapi.

Bahkan, ada mereka yang berani, namun lazimnya sejarah yang ditinggalkan mereka akan dihapuskan oleh golongan yang menang supaya generasi seterusnya hanya terus mengagongkan dan mengenangkan jasa golongan yang menang demi kepentingan masing-masing,” terang Tuan Ibrahim.

Akibatnya, kata beliau golongan yang tertewas ini lebih selesa menulis puisi, cerpen dan novel bagi meluahkan bantahan dan penentangan mereka terhadap satu-satu isu atau tohmahan yang dilemparkan kepada mereka.

“Maka lahirlah kata-kata sinis ‘yang menang tulis sejarah, yang kalah membuat puisi’,” kata beliau.
Tuan Ibrahim menyifatkan sejarah sebagai peninggalan untuk dinilai, difahami, dipelajari dan diambil iktibar terhadap sesuatu yang pernah berlaku, jarang sekali ia adalah untuk mencari kesalahan mana-mana pihak ketika peristiwa sejarah tersebut berlaku.

Namun, kata beliau segalanya menjadi terbantut apabila fakta sejarah yang ditinggalkan tidak boleh dibahaskan, tidak boleh dicabar dan tidak boleh dibincangkan secara akademik, terutamanya apabila muncul dua-tiga versi fakta sejarah yang bercanggah mengenai sesuatu peristiwa.

Akibat penulisan sejarah yang tidak tepat katanya, maka timbul usaha untuk menilai semula, membahas, perbincangan ilmiah dan diskusi mengenai satu-satu fakta sejarah dari pelbagai sudut.

“Namun, harus diingat, perkara yang paling malang dalam proses penulisan sejarah berkisar kepada mereka yang telah tiada untuk membela diri mereka terhadap penulisan yang tidak tepat terhadap mereka dalam penulisan sejarah, yang lumrahnya ditulis oleh golongan yang menang.

Kemunculan waris-waris untuk membela bagi pihak bapa, ibu atau waris mereka juga menambahkan warna-warni kepada perdebatan bahan sejarah – namun, apakah ianya tepat? Sudah tentu, ia masih boleh dipertikai lagi,” terang beliau.
Menurut Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, secara tidak sedar, rakyat dan negara kini sedang mencipta dan mencatitkan sejarah tersendiri, namun persoalan utamanya ialah apakah sejarah yang sedang kita lakar kini, sebagai contoh apa yang berlaku 20 tahun yang lalu untuk generasi masa depan, akan atau telah dibuat secara jujur?

“Jawapannya masih sama, ianya tidak jujur kerana adanya kepentingan golongan pemerintah dalam menjaga minda generasi seterusnya pada waktu ini, dengan anggapan bahawa mereka akan kekal berkuasa.

Sebagai contoh, sejarah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya dibahas pada masa hadapan, apakah versi yang bakal dicatat dalam sejarah?” soal beliau.

Rakyat, kata beliau tidak perlu melihat jauh dalam melihat apa yang beliau maksud dalam ungkapan ‘yang menang tulis sejarah, yang kalah buat puisi.’

“...untuk seseorang yang pernah menjadi Timbalan Presiden Umno dan Perdana Menteri suatu waktu dahulu, sekarang sudahpun ditulis dan digerombol oleh pihak pemerintah dalam wajah baru sebagai pengkhianat, penentang kerajaan dan selainnya sekiranya akhbar-akhbar pro-kerajaan pemerintah kini dijadikan rujukan sejarah pada masa hadapan.

Mana catatan terhadap jasa beliau dalam membangunkan negara, malah memajukan Umno suatu masa dahulu? Adakah ia akan dicatat dalam sejarah kerajaan Barisan Nasional, atau akan dipadamkan begitu sahaja? Adakah dalam carta sejarah kepimpinan Umno, gambar Timbalan Dr Mahathir ini pada 1990-an akan dihilangkan begitu sahaja dalam sejarah?

Sejarah apa pula mengenai beliau yang akan dituliskan dalam buku sejarah yang bakal diajar kepada pelajar pada masa depan?” tanya Tuan Ibrahim lagi.

Beliau turut menambah bahawa perkara sama turut berlaku dengan sejarah Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri  Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar Terengganu yang cuba dibuang dari sejarah, sehinggakan gambar beliau sebagai Menteri Besar cuba dihilangkan.

“Inilah realiti dalam permainan penulisan sejarah manusia oleh golongan yang menang, yang menjadi punca utama pahlawan-pahlawan negara yang bangun berjuang bermati-matian seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Datok Bahaman di Pahang, Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan, Datok Maharajalela dan Si Puntong di Perak, Dol Said di Negeri Sembilan dan puluhan pimpinan yang lain kini hilang dari sejarah,” terang beliau lagi.

Yang muncul, dicatat, dihargai malah tidak boleh dipertikaikan hari ini, katanya hanyalah pejuang yang diterima oleh Inggeris dalam sejarah penjajahan mereka terhadap Tanah Melayu.

“Sesiapa yang ingin mengungkit semula jasa golongan yang tertewas, walaupun jasa mereka berharga akan terus dicop sebagai pengkhianat atau penyokong golongan tertentu dan cuba mengubah sejarah negara oleh pihak pemerintah,” kata beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa benarlah juga, mereka yang diterima sebagai pejuang oleh penjajah Inggeris ada jasa dalam usaha memerdekakan negara; namun pada masa yang sama benarlah juga ungkapan "Yang menang tulis sejarah, yang kalah membuat puisi".

“Janganlah kita lupa pula dengan pejuang rakyat yang tidak diiktiraf, malah digelar sebagai pengganas oleh pihak penjajah atau golongan pemenang, mereka juga ada jasanya yang patut dimartabatkan dalam sejarah negara,” nasihat beliau.

Tuan Ibrahim turut menasihatkan pihak pemerintah jangan cepat mencela para pembaca sejarah yang menilai kedudukan tokoh-tokoh negara pra-kemerdekaan yang tercatit dalam sejarah ini secara peribadi dengan fakta sejarah yang cukup – walaupun kesudahan tafsiran mereka mungkin bercanggah dengan versi sejarah yang dihasratkan pihak kerajaan.

“Kerana ini adalah fenomena yang bagus untuk negara yang menunjukkan rakyat semakin matang dalam mengkaji maklumat yang diterima mereka sebelum menerimanya bulat-bulat tanpa soal selidik seperti dulu,” kata beliau lagi.

Sejarah pra-Merdeka negara kini hangat diperdebatkan apabila Umno dan medianya melancarkan serangan siang-malam sejak 27 Ogos yang lalu terhadap satu kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di ceramahnya di Tasek Gelugor pada 21 Ogos yang lalu.

Dalam laporan muka depannya baru-baru ini, Utusan Malaysia menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.
Kenyataan itu menurut akhbar Umno itu diucapkan timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.
Ekoran itu, isu itu menjadi 'peluru' pemimpin Umno dan medianya menyerang Mohamad Sabu dan PAS kononnya parti itu menghina para polis Bukit Kepong dan membela Komunis yang menyerang balai polis itu.
Sejak itu juga, berpuluh laporan polis dibuat terhadap Mohamad khususnya oleh Umno dan menggesa beliau memohon maaf serta menarik balik kenyataannya.
Mohamad bagaimanapun menafikan laporan akhbar itu yang didakwa cuba memfitnah dirinya dan tidak akan sesekali memohon maaf. Beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernahpun menyebut Mat Indera itu sebagai seorang komunis sepertimana yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.

Beliau turut menyatakan dalam sidang akhbar terbarunya bahawa serang Umno terhadap beliau sengaja ditimbulkan bagi mengalih pandangan rakyat terhadap kepincangan pengurusan pilihan raya dan kenaikan harga barangan keperluan sekarang.

”Ini kerana semua orang sudah tahu ketika zaman penjajah, sesiapa sahaja yang menentang British akan dianggap sebagai pengkhianat.

”Sama seperti Tok Janggut yang bangkit melawan Inggeris bagi menuntut kemerdekaan dianggap sebagai penderhaka, sedangkan mereka pejuang sebenar menuntut kemerdekaan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment