| Print | |
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 16 Sept: Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengesahkan bahawa berlaku kezaliman terhadap mangsa akta tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1960. Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mula sedar kebangkitan rakyat yang mahukan kebebasan dalam demokrasi yang merupakan mesej yang dibawa oleh GMI sendiri. "Ini sebagai pembuktian berlakunya kongkongan dan cengkaman ISA ke atas rakyat selama ini. "Perdana Menteri menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, dan rakyat mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka dan dinamik demokrasinya," kata beliau pada sidang media tergempar GMI bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), dekat sini, hari ini. Menyifatkan pengumuman itu sebagai kejayaan GMI, beliau juga berkata, pengumuman itu membuktikan ISA digunakan ke atas individu yang berbeza ideologi politik dengan kerajaan. "Beliau (Najib) memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. "Ini jelas mengisyaratkan penahanan aktivis 10 reformasi atas dakwaan ingin menggulingkan kerajaan dengan bahan-bahan letupan merupakan satu kesilapan dan penyalahgunaan kuasa ISA," katanya. Turut hadir pada sidang media tersebut bekas tahanan ISA, Mat Sah Satray dan isterinya yang juga aktivis GMI, Norlaila Othman dan ahli jawatankuasa PAS Pusat, Nuridah Salleh. Masih ragu-ragu Pengumuman itu yang dibacakan Najib dalam pengumuman khas malam tadi sempena hari Malaysia itu bagaimanapun masih diragui GMI. Antara persoalan yang timbul mengenai segala peruntukan dalam ISA khususnya berhubung dengan tahan tanpa bicara dan kuasa yang digunakan polis dan Menteri Dalam Negeri. "Adakah peruntukan tersebut dipindahkan kepada dua undang-undang baru yang bakal digubal? "Kelihatannya perintah mahkamah dikecualikan untuk undang-undang berkenaan," katanya. GMI juga mahu kerajaan menyatakan dengan jelas bila ISA akan betul-betul dimansuhkan dan semua tahanan akan dibebaskan. "Berapa lamakah tempoh ISA akan dimansuhkan? Jika memakan masa sehingga dua tahun sebagaimana tempoh pertama kali PM sebutkan tentang keji semula ISA sehingga sekarang, maka jangan salahkan rakyat jika menganggap pengumuman ini sebagai umpan dan sandir\wara pilihan raua ke 13 serta survival politik BN," katanya. Selain itu tegasnya, kerajaan harus menutup Kem Kamunting serta merta selepas membebaskan tahanan di dalamnya. "Apa akan jadi dengan Kem Kamunting? Kem ini mesti ditutup dan dijadikan warisa dunia seperti Robben Island di Afrika Selatan sebagai pengajaran kepada kezaliman dan kekejaman yang berlaku di bawah ISA," tegasnya. Najib juga katanya harus membentangkan usul pemansuhan ISA pada sesi Parlimen akan datang. Perkara tersebut turut disokong Nuridah yang meminta Najib membuktikan keikhlasannya untuk memasuhkan akta zalim itu. "Kita minta kerajaan melihat gesaan -gesaan GMI ini dan membentangkan usul pemansuhan ISA ini ke Parlimen pada sesi terdekat ini kalau betul-betul ikhlas nak mansuhkan ISA," katanya. Minta pampasan Sementara itu, GMI turut menuntut kerajaan memohon maaf dan membayar papmpasan setara kepada tahanan ISA setimpal dengan penyeksaan dan pengalaman pahit yang dilalui tahanan dan keluarga mereka. Selain itu, GMI mahu mereka yang terlibat dalam meyeksa dan menganiaya tahanan ISA mesti dibawa ke muka pengadilan. "Kerajaan, menteri berkenaan dan polis mestilah amanah dalam melaksanakan pelbagai prinsip yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya, bukan sekadar servis bibir. Norlaila yang turut meminta kerajaan membayar pampasan kepada mangsa pula berkata, ianya perlu kerana banyak kes penceraian berlaku akibat suami ditahan ISA. "Saya tuntut pampasan daripada kerajaan kerana adakah kerajaan sedar ada isteri meminta cerai apabila suami ditahan ISA dan tahanan yang keluar hilang pekerjaan dan sukar untuk mendapat pekerjaan baru serta masih dianggap pengganas," katanya yang aktif berjuang dalam GMI selama tujuh tahun suaminya ditahan di Kem Kamunting. |
No comments:
Post a Comment