Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Puasa
sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari
ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin
mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan
yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu
bermegah dan riya' dengan amalannya.
" kau , dah hari ker berapa dah?"
"aku dah 5 hari dah ni"
"esok aku raya (sunat syawal)"
Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.
Ia
menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam.
Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat
tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.
Amat
dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa
sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta
memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas
untuk Allah.
Ziarah & Puasa Sunat
Saya
tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak
makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan
masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar
tidak timbul perasaan tersebut.
Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.
Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha
Selain
itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang
penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu
lebih perlu diutamakan.
Jika
ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal
dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini
terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
Ertinya
: "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun,
maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib
ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka
kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih
kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)
Hadis
tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal
jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.
Maksudnya
begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh
atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan
sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat.
Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu
. Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding
Qadha (sepanjang tahun).
Bagaimanapun
harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita
tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal
menjelang dahulu.
Seseorang
yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa
sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang
dengan Allah SWT.
Bagaimanapun
seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak
sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun,
malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu
sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW
إن
الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله
له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات
إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له
عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة
Ertinya
" ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak
melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka
jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala
sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)
Kita
harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan
tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat
Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan
‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah
sebagai tambahan pahala.
Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-
Tidak
elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari
sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana
sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah
melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk
menggabungkannya.
Apabila
Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia
bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan
para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah
terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang
mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-
1.
Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan
puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula
individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti
gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul
masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat
sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain
timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat
fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.
2.
Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan
Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan
wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat
lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah
bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan
kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan
kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu
a'lam.
3.
Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah
bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka
inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a
tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya
: Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah
aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)
4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam'
(tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat
mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang
mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun
syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun,
ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan
menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana
tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala
al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam
Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)
5.
Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh
ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib
al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di
sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat.
Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya:
"Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari
dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr
(setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).
6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense'
bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang
belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian
barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.
7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia
dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting,
tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya
seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan
semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak
dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin,
An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.
Kesimpulan
Kesimpulan
dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat
tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha)
daripada sunat (syawwal);
Pandangan
yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka
yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk
mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya
adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602),
Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar,
panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
25 Oktober 2006
(Diedit semula pada 3 Syawal 1428 H = 15 Oktober 2007)
TERBIT SEMULA : 8 OKTOBER 2008 ( 9 Syawal 1429 H)
p/s
: Anda bebas untuk tidak menyetujui kesimpulan saya dalam tulisan ini.
Bagaimanapuan, pihak saya tidak mengalu-alukan sebarang perdebatan dan
hujah balas dalam ruangan komen. Saya meraikan setiap pandangan tanpa
menyalahkan mana-mana pihak.
Justeru, tidak perlulah berhujjah di sini, ini bukan tempatnya yang sesuai.
No comments:
Post a Comment