Enam IPTS ditarik balik kelulusan
KUALA LUMPUR 19 Okt . - Sebanyak enam buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) telah ditarik balik kelulusan pengambilan pelajar antarabangsa bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas pelbagai kesalahan.
Menurut kenyataan yang dikeluar oleh Kementerian Pengajian Tinggi, penarikan itu dibuat berdasarkan kegagalan IPTS terbabit menguruskan pelajar antarabangsanya dengan berkesan.
"Selain itu, kementerian juga telah mengenakan syarat tambahan bagi pengambilan pelajar antarabangsa dari negara Sub Sahara dan menguatkuasakan pemakaian No Objection Certificate (NOC) kepada semua pelajar yang menggunakannya sebagai kelayakan kemasukan ke IPTS di negara ini.
"Perakuan ini diberikan melalui permohonan dalam sistem e-Student yang ditadbir urus oleh Jabatan Imigresen. Kelulusan pas pelajar dan tapisan keselamatan juga di bawah bidang kuasa imigresen berdasarkan perakuan kementerian," tambah kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu , bagi tindakan penguatkuasaan pula, pihaknya telah membuat pemantauan ke atas pelajar antarabangsa dengan mewajibkan IPTS mengemukakan laporan berkala setiap suku tahun mengenai status pelajar dan peratus rekod kehadiran mereka ke kelas.
"Operasi bersama Jabatan Imigresen ke atas IPTS dan pelajar antarabangsa sering dilakukan dari semasa ke semasa dan sekiranya ada institusi yang melakukan kesalahan, tindakan undang-undang akan diambil.
"Sehingga bulan ini, terdapat 189 IPTS berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan mempunyai kelulusan KDN dalam pengambilan pelajar.
"Bagi mengekang persepsi kurang sihat terhadap pelajar antarabangsa, usaha secara lebih bersepadu melibatkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pelajaran akan diadakan," menurut kenyataan itu.
Selain itu, kementerian juga dalam usaha meminda akta dan peraturan berkaitan IPTS (Akta 555) serta mempertimbangkan untuk mengenakan tindakan tegas serta denda lebih tinggi terhadap IPTS yang disabitkan kesalahan.
No comments:
Post a Comment