KATA-KATA MANIS TETAMU, SIALAKAN!@

Sunday, April 17, 2011

DSAI : KENYATAAN MEDIA SELEPAS BN DIISYTIHARKAN MENANG!

Sunday, April 17, 2011

SUMBER Kenyataan Media

Pilihanraya Negeri Sarawak 2011 membuktikan perjuangan menuntut Keadilan untuk semua tanpa mengira batas kaum mahupun kepercayaan bukanlah tugas mudah, namun ianya juga bukan mustahil. Walaupun tidak mengecapi keputusan yang diingini, kita berjaya menanam benih politik murni agar rakyat Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, berani melawan kezaliman yang sekian lama membelenggu dan berusaha memperkukuh amalan Demokratik.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan sepanjang tempoh berkempen, berbekalkan sumber yang terhad serta berilitizam dengan kempen yang bersih, Pakatan Rakyat tetap berjaya menembusi kawasan pendalaman, yang sentiasa dianggap kubu kuat Barisan Nasional.

Sungguhpun demikian, sekali lagi kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya tercalar kerana wujudnya laporan bahawa Suruhanjaya itu bertindak berat sebelah ataupun sengaja menutup mata terhadap sebarang penipuan ketika hari pengundian. 

Saya difahamkan petugas Parti Keadilan Rakyat dinafikan borang 14 di beberapa kawasan sedangkan borang ini penting untuk memastikan keputusan pilihanraya bersih dari penipuan. Selain itu terdapat juga laporan wujudnya usaha membeli undi di beberapa kawasan seperti Dudong, Bawang Assan dan Meradong. 

Selain itu keengganan SPR untuk mengira semula undi di kawasan Senadin ternyata mengukuhkan lagi dakwaan ramai bahawa Suruhanjaya Pilihanraya bertindak demi kepentingan Barisan Nasional. Calon Parti Keadilan Rakyat, Dr Michael tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 58 undi sahaja. Mengapa enggan mengira semula tanpa memberi alasan yang munasabah?

Keputusan ini bukanlah satu pengakhiran, bahkan yakinlah ianya satu permulaan kepada satu tuntutan perubahan yang jitu dan menyeluruh. Pastinya ini tidak dapat dicapai sekiranya rakyat Sarawak tidak bersama sama memastikan ianya terlaksana. Saya menyeru kepada rakyat Sarawak yg mahukan Perubahan dan cintakan Keadilan, tingkatkan usaha, jangan sesekali berputus asa, terus mara dan pastikan regim yang korup ini tumbang pada pilihanraya yg akan datang. Kepada seluruh rakyat Sarawak dan jentera Pakatan Rakyat, saya ucapkan terima kasih dan syabas kerana keberanian serta pengorbanan yg dicurahkan. Dengan izin Allah, kemenangan pasti tiba.

ANWAR IBRAHIM

No comments:

Post a Comment