

Akhbar Utusan Malaysia milik Umno hanya dikenakan surat teguran berhubung laporan muka hadapannya 'Kristian agama rasmi?' pada Sabtu lalu yang "didapati menggemparkan fikiran orang ramai."
Satu kenyataan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan bahawa surat teguran berkenaan diserahkan kepada ketua pengarang kumpulan Utusan Malaysia, Datuk Aziz Ishak.

Laporan berkenaan – memetik tulisan di blog – mencetuskan kontroversi apabila mendakwa sekumpulan pemimpin Kristian yang didakwa berikrar untuk melantik perdana menteri daripada penganut agama itu.
"Adalah menjadi amalan KDN untuk memanggil dan mendapatkan penjelasan pihak akhbar atas tindakan menyiarkan perkara yang didapati bertentangan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, serta menyerahkan surat teguran ke atas kesalahan tersebut.
Tiada tindakan lanjut
"KDN akan terus memantau setiap akhbar yang dikeluarkan supaya tidak menyebarkan berita-berita yang boleh menggemparkan fikiran orang ramai atau kandungan-kandungan yang bertentangan dengan AMCP 1984," menurut kenyataan itu lagi.

Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein sebelum ini menjanjikan tindakan tegas terhadap pihak yang membakar api perkauman dengan memainkan isu-isu sensitif.
Pada 7 Mei lalu, Utusan Malaysia memetik laporan dua laman blog sebagai mendakwa satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara di Pulau Pinang yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dari kalangan penganut agama itu.

Mereka termasuk Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hatta Wahari berkata laporan fitnah Utusan itu cukup untuk menahan pengarang akhbar berkenaan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
No comments:
Post a Comment