KATA-KATA MANIS TETAMU, SIALAKAN!@

Sunday, April 29, 2012

Anwar, Ambiga disiasat ekoran Bersih 3.0?

Anwar, Ambiga disiasat
Oleh Shaarani Ismail dan Safeek Affendy Razali
bhnews@bharian.com.my
2012/04/30

Penganjur perhimpunan BERSIH, pembangkang langgar undang-undang: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Polis dan Peguam Negara akan meneliti kertas siasatan untuk menentukan tindakan terhadap penganjur perhimpunan BERSIH 3.0 yang disertai ramai pemimpin pembangkang sehingga bertukar kepada keganasan serta rusuhan penyokong mereka di sekitar Dataran Merdeka, di sini kelmarin.
Siasatan berkenaan akan menentukan bentuk tindakan yang bakal diambil terhadap penganjurnya, Datuk S Ambiga serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin lain yang dilihat berucap kepada penyokong mereka sebelum rusuhan dan keganasan berlaku.
Pihak yang menjalankan siasatan juga akan meneliti rakaman video oleh PDRM mengenai pelbagai insiden sehingga mendatangkan kecederaan kepada anggota polis, kerosakan harta awam dan kenderaan polis. - Datuk Hishammuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri
Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein, semalam berkata selain meneliti hasil siasatan, pihak berkuasa akan mengkaji semua laporan, termasuk punca rusuhan dan keganasan yang dicetuskan penyokong mereka.

“Secara keseluruhan, penganjur, pembangkang dan peserta perhimpunan sudah melanggar undang-undang dan tindakan mengikut undang-undang sedia ada perlu diambil terhadap mereka,” katanya.

Selain Anwar, pemimpin lain yang dilihat di lokasi perhimpunan adalah Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Azmin Ali; Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar; AJK PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dan Dr Dzulkefly Ahmad serta Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir; Pengerusi DAP, Karpal Singh; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Abdul Aziz Bari juga dilihat berada bersama peserta perhimpunan.

Hishammuddin juga berkata, siasatan polis dan pasukan pendakwaan merangkumi apa yang sebenarnya berlaku, terutama tindakan ganas oleh peserta perhimpunan.

“Pihak yang menjalankan siasatan juga akan meneliti rakaman video oleh PDRM mengenai pelbagai insiden sehingga mendatangkan kecederaan kepada anggota polis, kerosakan harta awam dan kenderaan polis,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas melawat anggota polis yang tercedera bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hishammuddin berkata, penganjur, SUHAKAM dan Majlis Peguam yang sering menyalahkan polis kononnya bertindak ganas, perlu melihat tindakan peserta perhimpunan melakukan provokasi terhadap polis yang bertugas mengawasi keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, mereka tidak sepatutnya hanya melihat video yang mereka rakam saja kerana polis juga mempunyai rakaman dari setiap sudut bagi memperjelaskan gambaran situasi sebenar ketika perhimpunan.

Ditanya mengenai kejadian kelmarin yang yang dianggap paling buruk berbanding perhimpunan sebelum ini, Hishammuddin berkata, ia terkawal dengan pegawai dan anggota polis melaksanakan tugas dengan semangat serta kesabaran yang amat tinggi.

“Kita mempunyai pelan jika perhimpunan berkenaan gagal dikawal, namun apabila polis dapat mengawal sebaik-baiknya, tindakan itu dirasakan tidak perlu,” katanya.









No comments:

Post a Comment