KATA-KATA MANIS TETAMU, SIALAKAN!@

Friday, November 11, 2011

Hudud: Pemuda PAS junjung kasih kepada Sultan Brunei>> MESTI BACAAA!!

SUMBER
Dr Raja Ahmad Al-Hiss   
KeBawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah
Istana Nurul Iman,
Jalan Tutong,
Bandar Seri Begawan
BA1000, BRUNEI DARUSSALAM

Assalamualaikum wrt,

Ampun Tuanku

MENJUNJUNG KASIH MERAFAK SEMBAH BERSAMA KERAJAAN BRUNEI DIATAS TITAH PELAKSANAKAN SYARIAT ISLAM


Patik, dari Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia (LA DPPM)  ingin merafak sembah menjunjung kasih diatas titah Tuanku Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Al-Mu'izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Kerajaan Brunei Darul Salam diatas hasrat dan saranan Tuanku yang mahu memartabatkan Syariat Islam di negara Tuanku.

Sebagai pemerintah kerajaan berdaulat yang majoritinya adalah umat Islam, usaha Tuanku untuk memartabatkan Islam dengan melaksanakan syariat Islam di negara Brunei merupakan usaha luhur dan murni yang perlu dijadikan contoh tauladan kepada semua negara Islam khususnya dari Asia Tenggara. Betapa kekukuhan iman yang mendalam mendorong Tuanku Sultan bertegas untuk melaksanakan syariat Islam di negara Tuanku dengan mengenepikan segala persepsi buruk musuh Islam terhadap syariat Islam.

Patik berpandangan, seharusnya pemimpin Islam di negara umat Islam yang lain merasa cemburu serta teruja untuk melaksanakan perkara yang sama di negara masing-masing. Islam yang diturunkan oleh Allah SWT perlu ditegakkan dalam semua lapangan kehidupan sama ada individu, keluarga, masyarakat mahupun negara dan merangkumi semua bidang daripada pendidikan, perekonomian, perundangan, pentadbiran, sehinggalah kenegeraan. Islam juga membawa keamanan dan kesejahteraan serta mampu menyelesaikan permasalahan gejala keruntuhan akidah dan akhlak yang sangat serius dalam masyarakat. Ternyata Tuanku Sultan telah mendahului perkara ini dengan hasrat melaksanakan syariat Islam di Brunei dan membuktikan tidak ada halangan untuk dilaksanakan. Justeru tidak ada alasan bagi pemimpin umat Islam di negara lain untuk melaksanakan perkara yang sama di negara masing-masing.

LA DPPM dan seluruh rakyat di Malaysia juga merasa bangga kerana Tuanku Sultan menekankan peri pentingnya menjadikan Sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai pegangan tertinggi dalam kehidupan rakyat di negara Brunei dan sudah pastinya suasana kehidupan di Brunei hasil dari syariat Islam yang diterapkan menjadi suatu impian indah kepada umat Islam di Malaysia. LA DPPM yakin, hasil dari pelaksanaan syariat Islam nanti, maka lahirlah masyarakat dan negara yang penuh dengan barakah, keamanan, keharmonian, ketenteraman dan keadilan. Ia juga sudah tentu menjadi suatu dakwah yang berkesan kepada negara-negera bukan Islam lainnya di rantau Asia ini.

Akhirnya, LA DPPM dan seluruh umat Islam di Malaysia sentiasa mendoakan kesihatan dan kekuatan kepada Tuanku Sultan agar terus mentadbir negara Brunei Darussalam. Umat Islam juga turut mendoakan agar negara Brunei Darussalam terus dberikan keamanan dan ketenteraman, jauh dari malapetaka, bala bencana serta hidup dalam keredhaan Ilahi dibawah lembayung Syariat Islam.

Ampun Tuanku, Patik sudahi dengan menjunjung kasih.

Wassalam

Yang Diamanah


YM DR RAJA AHMAD AL-HISS
Pengerusi Lajnah Antarabangsa
Merangkap Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment