Written by Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 29 Nov: Sebuah badan induk yang mewakili seluruh peneroka semalam memberi kata dua kepada Perdana Menteri sama ada sayangkan undi mereka pada pilihan raya umum akan datang atau lebih sayangkan Tan Sri Isa Samad.Dilihat sebagai peringatan tegas kepada Najib, Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda yang menaungi sejumlah 120,000 peneroka seluruh negara, menggesa perdana menteri itu menunaikan tuntutan mereka agar menyuruh Isa yang juga Pengerusi Felda berundur segera.
Selain Isa, yang dilihat 'membawa masalah' sejak dilantik setahun lalu, mereka juga menggesa Pengarah Seranta Felda Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd, Datuk Sabri Ahmad agar berundur sama.
“Di atas segala polemik, isu dan masalah yang timbul, JKPP dan GPW dengan ini sebulat suara mengusulkan kepada Tan Sri Isa Samad, Datuk Sabri Ahmad dan Datuk Noor Ehsanuddin agar mengundur diri secara terhormat.
"Jika hasrat kami ini tidak ditunaikan oleh YAB Persana Menteri, jelaslah sokongan peneroka Felda semasa pilihan raya umum ke-13 tidak lagi diperlukan oleh kerajaan memerintah,” kata mereka dalam satu kenyataan media semalam.
Satu sidang media juga turut diadakan di sebuah hotel di Ampang semalam yang dikendalikan Ketua Peneroka Kebangsaan Shamsuddin Othman (gambar) yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah Felda.
Turut serta pada sidang media itu, naib-naib pengerusi JKPP Wilayah serta GWP.
Kata dua itu dibuat sebagai bantahan dan rasa kesal mereka ekoran didakwa telah dipinggirkan oleh Isa daripada membuat keputusan berhubung penyenaraian Felda Global Ventures.
Selain itu, ianya juga sebagai bantahan kepada tindakan Isa yang didakwa secara terbuka telah mengeluarkan kenyataan menghina Shamsuddin selaku ketua kepada peneroka.
Mereka mendakwa, Isa pada satu taklimat mengenai proses penyenaraian di Kuala Pilah pada 12 November lalu telah menghina Shamsuddin dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu”, “jika saya jumpa saya akan lutu dia”.
Tindakan tersebut dilihat bukan sahaja menghina Shamsuddin, malah juga menghina seluruh peneroka.
"Segala pendapat dan pandangan kami pada hari ini adalah melampaui kepentingan parti politik dan sebagai bukti, ramai JKPP pada hari ini mempunyai jawatan tinggi dalam Umno Bahagian dan lain-lain.
"Namin ini tidak bermakna para peneroka dan penerokawati mudah untuk diperkotak-katikkan dan dihina ilmu dan pengalaman kami dalam bersama-sama mentadbir Felda," kata kenyataan mereka lagi.
No comments:
Post a Comment