KATA-KATA MANIS TETAMU, SIALAKAN!@

Wednesday, November 23, 2011

KELETIHAN PUNCA MALAYSIA TEWAS 0-2 DENGAN SYRIA SEMALAM?

Bolasepak kelayakan Olimpik: Malaysia tumpas 0-2
Skuad Olimpik negara gagal bangkit semula setelah tumpas 0-2 kepada Syria pada perlawanan kedua pusingan ketiga kumpulan C kelayakan Olimpik 2012 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Sebelum ini, pada perlawanan pertama pusingan ketiga, Malaysia tumpas 0-2 kepada Jepun di Stadium Tosu, Fukuoka.

Perlawanan itu disaksikan kira-kira 20,000 penyokong dan berlangsung secara sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Skuad bawah 23 tahun bimbingan Ong Kim Swee bermula garang apabila Ahmad Fakri Saarani melakukan cubaan seawal minit kedua namun melepasi gawang gol.

Gandingan Ahmad Fakri dan Wan Zack Haikal Wan Noor telah mengkucar-kacirkan benteng pertahanan skuad Helang Merah (Syria).

Pada hujung babak pertama, Wan Zack Haikal hampir memberi gol pendahuluan kepada skuad Olimpik negara menerusi tandukan hasil sepakan percuma oleh Mohamad Fandi Othman, namun cubaannya tersasar.

Selepas rehat, Skuad Helang Merah memecah kebuntuan pada minit ke-50 menerusi pemain tengah, Solaiman Solaiman menumpaskan penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad Harimau Muda kembali menyusun jentera serang bagi mencari gol penyamaan.

Khairul Fahmi menjadi wira apabila berjaya menyelamatkan beberapa cubaan berbahaya yang dilakukan jentera serangan Syria.

Syria memperkukuhkan lagi kedudukan menerusi jaringan kedua yang disempurnakan Nassouh Nakkdahli pada minit ke-88.

Ahad ini, Skuad Harimau Muda akan bertemu Bahrain yang sebelum ini kalah kepada Jepun 0-2 di Stadium Al-Riffa, Bahrain pada Selasa.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad Olimpik negara Ong Kim Swee berkata hilang fokus dan keletihan pada separuh masa kedua menjadi punca kekalahan 0-2 skuad Olimpik negara itu.

Menurutnya, kelalaian benteng pertahanan pada separuh masa kedua juga antara punca kekalahan dan membuka peluang kepada Syria untuk menjaringkan gol kedua.

"Benteng pertahanan kita hilang konsentrasi pada separuh masa kedua permainan.

"Tambahan pula, mereka keletihan kerana baru sahaja tiba di tanah air dan saya hanya sempat melatih mereka selama dua jam sahaja," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan tamat.

Kim Swee berkata beliau tidak mempunyai banyak pilihan pemain untuk diturunkan pada perlawanan itu ekoran beberapa masalah yang menimpa pemainnya.

"Mohd Fadhli Mohd Shas demam panas pagi tadi dan tidak boleh beraksi manakala Mohd Irfan Fazail mengalami kecederaan. Kedua-dua mereka dijangka pulih dalam masa dua atau tiga hari ini untuk diturunkan pada perlawanan menentang Bahrain Ahad ini," katanya.

Mengenai persediaan menentang Bahrain di stadium sama, jurulatih berusia 40 tahun itu berkata beliau akan menurunkan beberapa pemain yang tidak dapat beraksi malam ini.

"Saya mungkin akan menurunkan kesebelasan utama seperti Mohd Fadhli Mohd Shas, Mohd Irfan Fazail serta Syahrul Azwari Ibrahim untuk mengembalikan peluang kita menduduki tangga kedua kumpulan (di belakang Jepun)," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa terharu dengan sokongan padu peminat bola sepak tempatan pada perlawanan itu.

Sementara itu, jurulatih Syria Immad Eddin Khankan berkata beliau kagum dengan corak permainan Wan Zack Haikal Wan Noor.

"Dia berupaya mengkucar-kacirkan barisan pertahanan tetapi kami berjaya mengawalnya sepanjang permainan," katanya.

No comments:

Post a Comment